GAJAH liar yang ditangkap di Kampung Kubang Belantik, semalam. FOTO Ihsan PERHILITAN
GAJAH liar yang ditangkap di Kampung Kubang Belantik, semalam. FOTO Ihsan PERHILITAN
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Gajah jantan yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Kubang Belantik, di sini, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), semalam.

Pengarah Perhilitan Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah berusia antara 18 hingga 20 tahun dengan berat dianggarkan dua tan berkenaan ditangkap di kebun getah kira-kira 11 pagi

Katanya, operasi menjejaki mamalia oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Kedah itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum berjaya ditangkap.

"Gajah jantan itu ditangkap susulan aduan penduduk apabila tanaman mereka dirosakkan oleh gajah terbabit menyebabkan mereka mengalami kerugian.

"Gajah ini dipercayai lebih aktif masuk kawasan kampung ketika musim buah-buahan, ia gemar makan cempedak, durian, pisang dan buah-buahan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jamalun berkata, gajah yang dinamakan 'Awang Belantik' itu tidak bertindak agresif ketika operasi tangkapan dilakukan berikutan ia sudah biasa dengan penempatan manusia.

Katanya, gajah berkenaan dipercayai terpisah daripada kumpulannya dan mencari makan secara bersendirian sejak akhir-akhir ini.

"Kira akan pindahkan gajah ini ke Hutan Simpan Belum, Temenggor, Perak pada Khamis ini dengan bantuan dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

"Gajah ini sudah ditambat dan dipantau oleh anggota bertugas sebelum pasukan PKNK Kuala Gandah dijangka tiba pagi esok untuk mulakan proses untuk memindahkan gajah ini ke sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:29 PM