EMPAT remaja lelaki dikompaun kerana didapati menaiki kereta melebihi had dibenarkan. FOTO Ihsan PDRM
EMPAT remaja lelaki dikompaun kerana didapati menaiki kereta melebihi had dibenarkan. FOTO Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Padah menaiki kereta melebihi had dibenarkan menyebabkan empat remaja lelaki dikompaun RM1, 500 seorang di Jalan Kereta Api Lama, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kesemua empat individu terbabit yang berusia antara 16 dan 17 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang menjalankan Operasi Rentas Negeri/Daerah dan Op Samseng di kawasan itu.

"Empat remaja itu yang tinggal di Krubong dipercayai ke kawasan terbabit untuk melepak sebelum ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard kerana menaiki kenderaan melebihi had ditetapkan.

"Kompaun dikeluarkan terhadap kesemua penumpang termasuk pemandu kerana melakukan kesalahan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2001 dengan jumlah kompaun RM1,500 seorang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, selain itu, pihaknya turut mengeluarkan 57 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi sama.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah menunggang motosikal di bawah umur 16 tahun, tiada lesen memandu, melakukan ubah suai tidak mengikut spesifikasi serta tidak memasang cermin sisi.

"Malah dua motosikal turut disita selepas didapati melakukan pengubahsuaian pada ekzos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 5:35 PM