Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Melvin Joni


Kuching: Sejumlah 617 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Ambang Merdeka di seluruh Sarawak yang berakhir hari ini.

Operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak itu dilaksana sejak 28 Ogos lalu.

Ketua JSPT Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam tempoh operasi 69 pemeriksaan dilaksana dan saman paling banyak dikeluarkan membabitkan kesalahan gagal mempamerkan lesen memandu (87 saman).

"Ia diikuti nombor plat tidak mengikut peraturan (82 saman) dan 58 saman ubah suai ekzos," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pihaknya turut menyita 18 motosikal iaitu tujuh di Sibu Jaya dan 11 di Miri mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, secara keseluruhan 2,635 kenderaan diperiksa membabitkan 274 motosikal 1,336 kereta dan 1,025 kenderaan lain, namun tiada tangkapan dibuat.

Menurutnya, tumpuan utama operasi adalah memastikan orang ramai patuh kepada peraturan dan tidak melakukan kesalahan jalan raya, selain akur prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 11:47 AM