PENGUATKUASA Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan bunyi ekzos yang diubah suai. FOTO Nuraliawati Sabri
PENGUATKUASA Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan bunyi ekzos yang diubah suai. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Motosikal ditunggang mereka (pelajar sekolah) memiliki ekzos amat bising. Kami hairan bagaimana ibu bapa boleh benarkan anak mereka membawanya ke sekolah," ujar Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya.

Beliau mengulas tangkapan empat pelajar sekolah iaitu sebahagian daripada 30 individu ditahan dalam operasi dijalankan JSPT negeri bersama Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sejak Jumaat hingga awal pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan dalam tiga operasi berasingan iaitu Ops Samseng Jalanan, Ops Mabuk dan Ops Ekzos Bising membabitkan kesemua tiga daerah di negeri ini.

Hasan Basri berkata, selain 30 lelaki termasuk seorang wanita yang ditahan, sejumlah 87 saman turut dikeluarkan pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan trafik.

"Daripada 30 tangkapan dibuat, 15 membabitkan kesalahan ekzos bising, enam didapati terbabit lumba kereta haram dan lima lagi memandu di bawah pengaruh alkohol. Antara lokasi operasi dijalankan di sekitar Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA), Lebuh Ayer Keroh, Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Serkam, Tanjung Minyak dan Klebang termasuk bandar Melaka.

"Malah empat pelajar turut ditahan pada petang Jumaat ketika pulang dari sekolah. Motosikal ditunggang mereka memiliki ekzos yang bising," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini, tadi.

Menurutnya, setiap motosikal yang ditahan mampu menghasilkan antara lima hingga ke enam saman atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai tidak mengikut spesifikasi, kesalahan nombor pendaftaran dan ekzos bising.

"Semua motosikal dan enam kereta disita bagi tindakan lanjut dan dibawa balik ke IPK. Selain tindakan saman dikeluarkan polis, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut akan mengeluarkan sama kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pada sambutan Aidilfitri ini tiada Ops Selamat dijalankan seperti sebelum ini, namun pihaknya dipertanggungjawab menjalankan Ops Rentas bagi memastikan tiada sebarang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran dibuat.

"Lebih 100 pegawai dan anggota trafik ditugaskan digerakkan bagi memastikan tiada individu yang cuba melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Kebiasaan kami akan berada di laluan tikus jadi diingatkan kepada masyarakat jangan cuba untuk berbuat demikian kerana kompaun akan dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:10 PM