MERCUN yang dirampas daripada lelaki itu. FOTO Ihsan PDRM
MERCUN yang dirampas daripada lelaki itu. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki ingin menjual mercun gagal selepas ditahan polis dan merampas 99 kotak mercun bernilai RM10,000, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasukan polis dari Balai Polis Tun HS Lee ketika menjalankan tugas pematuhan Op Covid-19 menahan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 50 tahun di tepi Jalan Kenanga.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemukan 99 kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM10,000.

"Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman akan dimohon hari ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal, mercun ini dipercayai ingin dijual kepada penduduk di Kuala Lumpur sempena sambutan Aidilfitri.

"Justeru, polis memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkenaan penjualan mercun dalam tempoh perayaan ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 9:24 AM