MAHDZIR (dua kanan)  menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku kepada Dr Zaiton. FOTO ihsan Pusat Khidmat Parlimen Padang Terap
MAHDZIR (dua kanan) menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku kepada Dr Zaiton. FOTO ihsan Pusat Khidmat Parlimen Padang Terap
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang dua kontena sejuk beku bagi kegunaan dua hospital di negeri ini yang berhadapan masalah penyimpanan jenazah mangsa Covid-19.

Dua hospital terbabit adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mengambil maklum keperluan mendesak dua hospital terbabit bagi menempatkan jenazah yang semakin meningkat setiap hari.

"Jadi saya berbincang bersama pengurusan tertinggi TNB dan kita ambil tindakan segera dalam masa dua hari sahaja untuk menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku ini.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din yang banyak membantu sehingga kontena sejuk beku dan peralatan lain tiba hari ini," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahdzir menyerahkan sumbangan terbabit kepada Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin, manakala penyerahan kepada HSAH dilakukan kepada Pengarahnya, Dr Azlina Muhamad Radzi.

Turut hadir, Pengurus Besar TNB Negeri, Ir Azmi Mohd Yusof dan Pengurus TNB Negeri, Ku Abdul Razak Ku Ismail.

Selain kontena sejuk beku, TNB turut menyerahkan dua Alat Pernafasan Berpemekatan Udara (PAPR) bagi kegunaan kakitangan perubatan yang melakukan pembedahan kes berkaitan Covid-19.

Mahdzir berkata, secara keseluruhan sumbangan TNB membabitkan dua kontena sejuk beku dan peralatan terbabit adalah bernilai RM165,000.

"Kita berharap sumbangan ini dapat menyelesaikan masalah kritikal dan mengurangkan beban yang dihadapi kakitangan perubatan di dua hospital terbabit.

"Pada masa sama, ia diharap dapat membantu menghilangkan kerisauan orang ramai berkaitan pengurusan jenazah mangsa Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 5:08 PM