Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Amirul Aiman Hamsuddin

Klang: "Bilik mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang berada pada tahap kapasiti penuh menyebabkan mayat pesakit Covid-19 tidak dapat diselenggara sewajarnya," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi dengan proses pengurusan mayat yang mengambil masa lama selepas pesakit Covid-19 meninggal dunia.

"Pihak hospital perlu segera menguruskan mayat untuk proses pengebumian mengikut agama masing-masing supaya waris dapat memberi penghormatan terakhir.

"Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan waris yang telah kehilangan ahli keluarga," katanya dalam kenyataan, semalam.

Berikutan itu, Gunaraj berkata, beliau mencadangkan kerajaan menambah kontena sejuk beku supaya mayat pesakit Covid-19 di HTAR Klang ditempatkan secara teratur.

Menurutnya, ia bertujuan menangani jumlah mayat di hospital terbabit yang sudah melebihi kapasiti sepatutnya.

"Kerajaan seharusnya memandang serius perkara itu selain menambah infrastruktur kesihatan seperti fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU), tangki oksigen, alat ventilator dan katil pesakit," katanya.

Beliau berkata, ketika ini jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat dan meninggal dunia di hospital berkenaan meningkat saban hari.

"HTAR Klang sedang bergelut untuk menangani jumlah pesakit yang postif Covid-19 dan meninggal dunia yang sudah melewati kapasiti.

Terdahulu, tular video di media sosial keadaan bilik mayat yang didakwa bertempat di HTAR Klang apabila jumlah mayat mangsa Covid-19 terpaksa ditempatkan di lantai.

Kelmarin timbul isu apabila wakil MIC pusat gagal menyerahkan sumbangan sebuah kontena penyimpanan mayat kepada HTAR di Klang, Selangor.

Ini susulan pendedahan bahawa hospital itu menghadapi kekangan sumber untuk merawat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat serta ruang untuk menyimpan mayat.

Bagaimanapun video Tiktok itu dipadamkan selepas pihak hospital HTAR bersetuju menerima kontena itu hasil campur tangan oleh Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 5:31 PM