Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbang untuk meningkatkan hukuman kepada pesalah jenayah pemerdagangan manusia termasuk cadangan penjara seumur hidup.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan berkenaan di negara ini.

Katanya, kegiatan pemerdangan manusia sama seperti amalan perhambaan moden yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta mangsa di seluruh dunia.

"Berdasarkan statistik sejak 2015, di negara ini sebanyak 1,854 kes membabitkan 10,463 mangsa sudah direkodkan iaitu 70 peratus mangsa terdiri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

"Golongan rentan adalah kumpulan terdedah yang mudah terpengaruh dan terpedaya dengan janji palsu sindiket pemerdangan ini sehingga mereka menjadi mangsa.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan diberi perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Anti Pemerdagangan Orang Sedunia 2021, secara maya, hari ini.

Berikutan itu, Hamzah mengajak semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi antarabangsa dan masyarakat umum untuk terus bersatu dalam memberikan sokongan, perlindungan dan keadilan kepada mangsa pemerdangan ini.

"Diharapkan dengan kerjasama dan pembabitan semua pihak, KDN percaya kegiatan pemerdagangan manusia ini dapat dibanteras dan keadilan dapat diberikan kepada semua tanpa mengira latar agama, bangsa mahupun negara," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut berterima kasih kepada semua mangsa yang memberikan maklumat serta kerjasama dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dan ia amat bertepatan dengan tema sambutan kali ini iaitu Victims Voices Lead the Way.

"Mangsa adalah golongan yang perlu dilindungi supaya mereka boleh menjadi petunjuk atau indikator utama kepada kementerian dalam memerangi jenayah ini dengan berkesan.

"Bantuan dan sokongan yang lebih menyeluruh akan diberikan kepada mereka. Ini adalah sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu bagi memelihara nyawa seorang manusia, termasuklah mengembalikan maruah dan harga diri," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, kerajaan bekerjasama dengan NGO Project Liber8 mewujudkan sistem dikenali sebagai Chatbot MAPO (Majlis Anti Pemerdagangan Orang) yang bertindak sebagai medium interaksi antara mangsa dengan MAPO.

"Menerusi sistem ini, ia mudah diakses, mesra pengguna dan mampu dihubungi secara 24 jam serta memberikan respon yang pantas kepada pengguna. Sistem ini menyediakan enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Indonesia, Burma, Nepal dan Bangali bagi memudahkan pengguna untuk berkomunikasi.

"Dengan adanya platform seumpama ini, diharapkan lebih banyak mangsa akan tampil ke hadapan serta kementerian akan memastikan pengguna bukan sahaja dapat diselamatkan tetapi dilindungi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:24 PM