GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini akan menjadi Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVI) Sektor Pengangkutan bagi pekerja Pelabuhan Pulau Pinang, bermula 3 Ogos ini.

Penyelarasan itu diputuskan secara kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya berbesar hati untuk memikul tanggungjawab sebagai pengendali program berkenaan selepas mengambil kira kepentingan vaksinasi dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

"Dijangka seramai 5,434 penerima vaksin berkenaan terdiri daripada pekerja SPPP, Penang Port Sdn Bhd, pelaut, sektor logistik dan juga komuniti lain yang bekerja di pelabuhan.

"Sebanyak 200 dos akan diberi setiap hari dan akan mengambil masa kira-kira selama 27 hari bagi dos pertama selesai, manakala proses pemberian dos kedua pula dilakukan sebaik sahaja kesemua penerima terbabit selesai dos pertama," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Teik Cheng berkata, program vaksinasi Covid-19 itu amat penting dalam memastikan operasi di pelabuhan berjalan lancar, malah vaksinasi bertindak sebagai perlindungan tambahan untuk menghalang jangkitan Covid-19 berlaku di dalam kawasan pelabuhan.

"Tambahan pula petugas pelabuhan menyalurkan perkhidmatan penting selama 24 jam sehari tanpa henti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, demi memastikan kelancaran pergerakan barangan keperluan kepada pengguna," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 2:06 PM