DR Adham (kanan) melihat proses pemberian vaksin Covid-19 ketika membuat tinjauan ke Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di dewan serbaguna Kampung Semangar Dalam, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
DR Adham (kanan) melihat proses pemberian vaksin Covid-19 ketika membuat tinjauan ke Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di dewan serbaguna Kampung Semangar Dalam, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Tinggi: Seramai 85,000 guru seluruh negara yang belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ketika ini senarai penuh nama guru telah diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam memastikan semua warga pendidikan divaksinasi sebelum sekolah dibuka.

Dr Adham berkata, selain guru anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah, serta pengawal keselamatan sekolah, juga akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.

" Saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar di sini, hari ini.

Setakat ini, 326,998 orang guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 guru telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Mengenai pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata kementeriannya sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.

Sementara itu, 1,500 vaksin diberikan kepada masyarakat Orang Asli dari Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di daerah Kota Tinggi menerusi program outreach berkenaan yang bermula Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 3:29 PM