SARLAN. FOTO Adnan Ibrahim
SARLAN. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Konsortium Penternakan Ayam Muslim Berhad (KPAM) diminta mengemukakan bukti kepada penduduk di lapan perkampungan di Jalan Benut, Simpang Renggam, bahawa ladang ternakan ayam mereka tidak menyebabkan bau busuk atau kehadiran lalat yang banyak.

Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin berkata, kesungguhan pihak KPAM untuk membina reban ayam tertutup seperti yang dinyatakan harus dibuktikan dengan menunjukkannya kepada masyarakat di perkampungan ini.

Katanya, pihak berkenaan boleh membawa seberapa ramai wakil ke ladang ternakan yang sudah dibina bagi menunjukkan bukti bahawa apa yang sedang mereka rancang di Kampung Datuk Ibrahim Majid sekarang tidak akan menyebabkan berlakunya bau busuk serta gangguan lalat.

"Semua pengusaha ladang ternakan ayam mengaku mereka akan atau sudah mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan untuk pembinaan reban ayam ketika melakukan permohonan.

"Namun sebaliknya, apabila kelulusan diberikan mereka gagal untuk melaksanakan malah tetap menjadi penyumbang kepada kehadiran lalat didalam kawasan kediaman penduduk kampung," katanya.

Sarlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Perladangan Mampan dan Digital KPAM, Datin Rusila Hashim yang mendakwa reban ayam tertutup yang dirancang pihaknya akan mematuhi setiap SOP seperti disiarkan oleh Harian Metro hari ini.

Menurut Sarlan, keputusan dan kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk kampung itu berasas dan tidak harus dipertikaikan kerana mereka tinggal di dalam kawasan perkampungan itu sejak sebelum adanya reban ayam sehingga sekarang yang sudah mempunyai puluhan reban.

"Penduduk kampung secara hakikatnya tidak menolak sebarang pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada mereka namun bukan yang akan menyebabkan kehidupan mereka semakin tertekan dengan kehadiran lalat yang tidak pernah putus sepanjang tahun.

"Oleh yang demikian, saya mengharapkan pihak KPAM memahami situasi ini dan memikirkan lokasi lain yang lebih strategik untuk projek pembinaan ladang ternakan ayam tertutup pihaknya," katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk di kawasan perkampungan di Jalan Benut bersetuju dengan keputusan membatalkan terus cadangan pembinaan ladang ternakan ayam tertutup itu kerana ia memberikan kesan kepada masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:16 PM