GAMBAR hiasan. FOTO Mikail Ong.
GAMBAR hiasan. FOTO Mikail Ong.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Jangan melakukan provokasi dengan ular bagi mengelak haiwan itu bertindak agresif.

Ahli Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II, Noor Fazida Tina Mohamad Noor berkata, sentiasa tenangkan diri walau dalam apa jua situasi kerana ia membuka ruang tindak balas agresif haiwan berbisa.

"Dalam masa sama, hubungi segera pasukan penyelamat untuk tindakan selanjutnya supaya tidak bersendirian menangkap haiwan berbisa tanpa kepakaran dan mengundang bahaya.

"Jangan memprovokasi ular menggunakan apa-apa peralatan seperti kayu, batu dan sebagainya untuk mengelakkan ular menjadi lebih agresif," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Noor Fazida berkata, pemerhatian terhadap ular termasuk warna, corak dan fizikal ular akan memudahkan pasukan penyelamat mengenal pasti tindakan sesuai yang boleh diambil.

Menurutnya, sekiranya dipatuk dan perlu dirujuk ke hospital ia juga memudahkan pasukan perubatan memberi rawatan bersesuaian mengikut spesis ular terutama jika membabitkan pemberian antivenom.

Beliau yang juga Penyelia Pasukan A di Balai Bomba dan Penyelamat Rawang berkata, operasi menangkap haiwan berbisa ini perlu dilakukan berhati-hati kerana ia boleh mengundang maut jika dibuat seseorang yang tiada kepakaran.

Katanya, Skuad King Cobra diwujudkan pada penghujung 2015 pada permulaannya memfokuskan latihan dan meningkatkan kemahiran anggota bomba dalam mengendalikan kes haiwan berbisa.

"Selepas beberapa tahun, skuad ini mendapat kepercayaan pihak luar samada kerajaan dan swasta untuk mengendalikan kursus pengendalian haiwan berbisa," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun maut dipatuk ular di dalam bilik di rumah keluarga di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, Rembau, Negeri Sembilan.

Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun di bilik tidur utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:55 PM