Siti Rohana Idris

KEHILANGAN seorang lelaki sejak semalam terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sungai di Kampung Ketil di Tumpat petang hari ini.

Mayat Kamarudin Derahman, 52, ditemui anaknya yang mencari mangsa sejak pagi bersama penduduk kampung dengan menaiki bot di sekitar sungai yang dipercayai lokasi terakhir mangsa dilihat.

Abang mangsa, Rosli, 55, berkata, dia menerima panggilan daripada anak saudaranya berusia 26 tahun memaklumkan bapanya tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Menurutnya, dia mengarahkan saudara mara mencari mangsa terutama di sungai tidak jauh dari rumah mangsa kerana ada seorang penduduk kampung ternampak kelibat mangsa di sekitar kawasan itu.

“Saya difahamkan pada semalam pada 11 malam, ada seorang penduduk kampung ternampak adik saya menghala ke sungai tidak jauh dari rumahnya

“Tidak lama kemudian, dia terdengar suara meminta tolong namun mengabaikannya kerana lokasi itu dipercayai agak keras dan dia tidak berani menghampiri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat.

Rosli berkata, usaha mencari Kamarudin dijalankan bermula pagi hari ini menggunakan bot penduduk kampung tetapi tidak menemui mangsa menyebabkan dia melakukan solat hajat di surau berhampiran rumah bagi memudahkan pencarian.

Dia berkata, usaha mencari diteruskan pada sebelah petang dan kira-kira satu jam mencari, mayat Kamarudin timbul di permukaan sungai kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dilihat.

“Jenazahnya dibawa ke Hospital Tumpat dan akan dikebumikan terus malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjong, Pengkalan Kubor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 10:48 PM
Rosli menunjukkan salinan dokumen pengenalan dirinya adiknya yang ditemui lemas di Kampung Ketil, Tumpat malam ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Rosli menunjukkan salinan dokumen pengenalan dirinya adiknya yang ditemui lemas di Kampung Ketil, Tumpat malam ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar