JENAZAH wanita yang meninggal dunia di dalam bot APM akibat sesak nafas serta positif COVID-19.FOTO ihsan BOMBA
JENAZAH wanita yang meninggal dunia di dalam bot APM akibat sesak nafas serta positif COVID-19.FOTO ihsan BOMBA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang wanita yang mengalami sesak nafas meninggal dunia di atas bot ketika dibawa sepasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) meredah banjir di Kampung Jejulok di sini, semalam.

Sebelum itu, mangsa, A Eidah Ab Rahman, 51, diusung empat anggota APM pada jam 8 malam di rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong berikutan keadaan kesihatannya yang dilihat kritikal serta memiliki berat badan kira-kira 160 kilogram (kg).

Wanita itu terpaksa diangkat menggunakan pengusung keranda untuk diletakkan ke dalam bot disebabkan beberapa individu termasuk ahli keluarga tidak mampu mengangkatnya secara normal.

Anggota APM Tumpat, Yasir Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima arahan supaya membawa keluar mangsa menaiki bot kerana keadaan banjir termenung di kawasan kampung wanita itu.

"Dengan menggunakan sebuah bot, kami tiba di rumahnya dan mendapati wanita itu dalam keadaan tidak bermaya dan sukar bernafas.

"Disebabkan dia tidak larat untuk bangun dan sukar mengangkatnya, kami terpaksa mencari alternatif lain dengan menggunakan pengusung keranda yang diambil dari masjid berhampiran dengan meletakkan wanita itu di atasnya bersama tilam.

"Dalam keadaan gelap malam, kami meredah kawasan bendang padi dan celah kampung yang seumpama lautan dalam sejauh kira-kira tiga kilometer dan tidak menyedari mangsa sudah meninggal dunia ketika hampir tiba di Kampung Jejulok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yasir berkata, sebaik tiba di Kampung Jejulok iaitu pangkalan sementara bot mendarat, pihak perubatan sudah menunggu dengan ambulans dan sebaik dibuat pemeriksaan, wanita itu disahkan sudah meninggal dunia pada 9.40 malam sebelum dibawa ke Hospital Tumpat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita itu juga positif Covid-19 dan dia bersama rakan setugas terpaksa menjalani kuarantin kendiri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail yang terbabit dalam proses pengebumian mangsa berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor termasuk waris mangsa terbabit dalam pengebumian itu.

Beliau berkata, mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Neting pada 1.30 tengah hari tadi.

"Proses pengebumian mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit dan seramai 12 orang anggota termasuk waris memegang tali bagi memasukkan keranda mangsa ke liang lahad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 7:05 PM