Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Muar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md Rasu, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Pembantu Penguatkuasa JPJ Cawangan Muar itu didakwa menerima suapan wang antara RM3,000 hingga RM11,000 secara pindahan dalam talian daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P P Vijayan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Sulaiman, Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Di bawah seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan itu dengan mencadangkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Ahmad Jamil yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia menanggung dua anak berusia 10 dan 16 tahun yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 20 September depan.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500.

Bagi pertuduhan di Melaka, dia didakwa menerima wang suapan itu daripada syarikat yang sama bagi tujuan yang sama antara April 2020 hingga Mac 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 11:00 AM
Anggota JPJ, Ahmad Jamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN/VIDEO
Anggota JPJ, Ahmad Jamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN/VIDEO