GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 438 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 434 individu dikompaun, manakala empat lagi direman.

"Pasukan Task Force operasi pematuhan turut melaksanakan pemeriksaan terhadap 1,819 kilang, 13,797 premis perniagaan, 702 tapak pembinaan dan 198 asrama pekerja.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 31 premis meliputi kilang (4) dan premis perniagaan (27) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng pula menahan lima pendatang asing tanpa izin dan merampas lima kenderaan darat.

Selain itu, katanya, seramai 672 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, setakat semalam.

Katanya, secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 256,526 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 81 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 9,461 individu dikuarantin dan 243,468 orang dibenarkan pulang, manakala 3,597 lagi dibawa ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:23 PM