GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 825 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 810 individu dikenakan kompaun manakala 15 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal membabitkan 217 individu diikuti seramai 151 individu rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis.

"Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (137); gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (113); tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (94); membawa penumpang berlebihan (45); aktiviti pusat hiburan (26); premis gagal patuh arahan (12) dan lain-lain kesalahan (30)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam menahan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas lima kenderaan darat serta sebuah bot.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 171 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 856 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatifnya sejak 24 Julai 2020, seramai 230,738 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 77 hotel serta 10 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,726 individu dikuarantin dan 220,241 orang dibenarkan pulang manakala 2,771 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:41 PM