GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni


Kuching: Gerakan protes atau hartal doktor kontrak tidak dikesan berlaku dalam kalangan petugas perubatan di Sarawak.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, pemantauan terus dilakukan di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri ini berhubung perkara itu.

"Setakat ini maklum balas yang diterima menyatakan tiada gerakan dilakukan untuk kegiatan ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai Hartal Doktor Kontrak, apabila Hospital Umum Sarawak (HUS) turut tersenarai dalam protes berkenaan yang dirancang pada hari ini.

Dr Mohamed berkata, semua hospital dan klinik tetap bersiap sedia dengan pelan pemulihan sekiranya perkara itu berlaku.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak hospital dan klinik kesihatan juga sudah memaklumkan pegawai perubatan kontrak mengenai penambahbaikan kerjaya yang dicadangkan oleh kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:09 PM