DR Zaliha Mustafa. FOTO NSTP.
DR Zaliha Mustafa. FOTO NSTP.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: "Perkara itu (mogok) tidak menyelesaikan masalah, jadi yang terbaiknya kita bersemuka, anda boleh datang kepada saya," kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau mengulas mengenai khabar angin mendakwa akan berlaku mogok dalam kalangan petugas kesihatan yang kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menerusi video di TikTok hari ini, beliau memaklumkan bertekad menyelesaikan masalah itu dan meminta pihak yang berkaitan untuk berfikir dengan lebih matang.

"Saya sebenarnya mendengar bahawa akan dilakukan 'unannouced strike', sama ada berlaku atau tidak berlaku, saya sendiri pun tidak ada kepastian.

"Saya minta kepada anda semua, kita berfikir dengan cara lebih matang, lebih baik, boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai-pegawai, kita bertemu, bersemuka selesaikan masalah ini dan semuanya akan mendapat kebaikan daripada perkara ini," katanya.

Menurutnya, beliau memahami keresahan pekerja sektor kesihatan namun meminta diberikan sedikit masa dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee membangkitkan kebimbangan mengenai khabar angin mendakwa akan berlaku mogok dalam kalangan petugas kesihatan.

Beliau dilapor mengetahui perkara itu daripada beberapa doktor berstatus kontrak dan tetap selepas kecewa dengan tekanan dihadapi sistem kesihatan di negara ini.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok.

Minggu lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak memaklumkan bersedia melakukan mogok sekali lagi jika KKM terus 'membisu' dalam menangani isu berkaitan dalam tempoh tiga bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 4:02 PM