GERAKAN Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri.
GERAKAN Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis akan membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan pegawai perubatan kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berkumpul dalam Hartal Doktor Kontrak hari ini.

Kira-kira 50 pegawai perubatan kontrak dilihat keluar dari lobi utama hospital berkenaan pada jam 10.55 pagi sebelum berkumpul di bangunan parkir dan memegang plakat tertera perkataan Hartal Doktor Kontrak, pakar perubatan masa depan dan #tetaplawan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan kumpulan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kesemua peserta terbabit akan dipanggil untuk merakam keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Dalam tempoh PKP ini tiada sesiapapun dibenarkan berhimpun mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).

"Kita akan rujuk kertas siasatan lengkap kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut selepas ini," katanya.

MOHAMAD Zainal Abdullah pada sidang media di Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Fariz Iswadi Ismail
MOHAMAD Zainal Abdullah pada sidang media di Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 21(a) Akta 342 dan Peraturan 17 Akta 342 kerana melanggar SOP yang boleh dikenakan kompaun.

Terdahulu, wakil hartal doktor kontrak HKL yang mahu dikenali sebagai Dr Mohammad berkata, pihaknya menyeru kerajaan memberikan hak sama rata kepada mereka.

"Kami menuntut hak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi perubatan dan diserap sebagai pegawai perubatan tetap.

"Ramai dalam kalangan kami bertugas mengendalikan pesakit Covid-19 sejak tahun lalu dan kira-kira 150 doktor kontrak berhenti kerana terlalu penat dengan sistem kesihatan sekarang ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:02 PM