PASUKAN HAZMAT membuat pemeriksaan pada sebuah ambulans yang dipercayai mengalami kebocoran gas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PASUKAN HAZMAT membuat pemeriksaan pada sebuah ambulans yang dipercayai mengalami kebocoran gas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Hasil ujian calitan mendapati, kematian seorang petugas Klinik Kesihatan Kampung Sawah di Bukit Pelandok di sini, pagi tadi bukan disebabkan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

"Mangsa bertugas sebagai pembantu farmasi di Klinik Kesihatan Kampung Sawah.

"Mangsa tiba-tiba mengadu sakit dada sebelum rebah ketika bertugas jam 8.15 pagi tadi. Mangsa terus dibawa menaiki ambulans ke Hospital Port Dickson (HPD) dengan diiringi seorang pegawai perubatan dan dua pembantu perubatan," katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, sebaik tiba di HPD, mangsa disahkan meninggal dunia manakala tiga petugas yang mengiringinya didapati tidak sedarkan diri.

"Ketiga-tiga petugas perubatan berkenaan sudah sedar dan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di HPD.

"Punca sebenar petugas berkenaan masih disiasat. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga masih melakukan siasatan lanjut ke atas ambulans dinaiki mereka," katanya.

Aidi Sham berkata, setakat ini, kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Masyarakat dinasihati tidak membuat spekulasi atau menyebar berita tidak benar.

Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kebocoran gas di Klinik Kesihatan Kampung Sawah pada jam 9.30 pagi.

"Seramai 35 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan HAZMAT ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di premis namun mendapati tiada berlaku sebarang kebocoran," katanya.

Mohammad berkata, punca kejadian disahkan akibat kebocoran gas dalam ambulans namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Ini kerana, kejadian sama turut berlaku semalam apabila seorang petugas kesihatan yang menaiki ambulans sama didapati pengsan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:53 PM