Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok di sini, pengsan akibat terhidu gas bocor dalam ambulans ketika membawa rakan setugas mereka yang rebah di klinik berkenaan ke Hospital Port Dickson pagi tadi.

Pada masa sama, rakan setugas tiga petugas berkenaan pula disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah petugas lelaki berusia 29 tahun manakala tiga petugas lelaki lain yang tidak sedarkan diri berumur 30-an.

"Terdahulu, kami menerima maklumat berlaku kebocoran gas di klinik kesihatan itu jam 9.30 pagi.

"Seramai 35 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan HAZMAT ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di premis namun mendapati tiada berlaku sebarang kebocoran.

"Pihak klinik kesihatan memaklumkan, seorang petugas klinik itu rebah tiba-tiba selepas mengadu sakit dada sebelum tiga petugas lain membawanya ke hospital menggunakan ambulans," katanya ditemui di Hospital Port Dickson di sini.

SEBUAH kenderaan bomba keluar dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok susulan seorang petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok meninggal dunia. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SEBUAH kenderaan bomba keluar dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok susulan seorang petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok meninggal dunia. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Kata beliau, sebaik tiba di hospital, mangsa dan tiga petugas berkenaan yang duduk di belakang ambulans didapati tidak sedarkan diri.

"Pihak hospital yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia manakala tiga petugas berkenaan sedang dirawat," katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, punca kejadian disahkan akibat kebocoran gas dalam ambulans dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Ini kerana, kejadian sama turut berlaku semalam apabila seorang petugas kesihatan yang menaiki ambulans sama didapati pengsan," katanya.

Berita berkaitan

  • Seorang maut, tiga pengsan terhidu kebocoran gas di Klinik Kesihatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:00 PM