BAYI perempuan ditemui seorang wanita. FOTO Ihsan Polis.
BAYI perempuan ditemui seorang wanita. FOTO Ihsan Polis.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


SEORANG wanita mahu membuang sampah dikejutkan dengan penemuan bayi perempuan ditinggalkan dalam kotak di depan pagar rumahnya di Lukut, Port Dickson, 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 44 tahun itu kemudian membuka kotak berkenaan dan menemui bayi perempuan itu.

“Bayi berkenaan kemudian di bawa ke Balai Polis Lukut, anggota bertugas kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Lukut sebelum pasukan perubatan tiba.

“Pemeriksaan mendapati bayi itu masih bernyawa namun keadaannya tidak begitu baik.

“Ketika ditemui bayi itu masih bertali pusat, dibalut menggunakan kain pelikat dan uri masih berada dalam kotak,” katanya.

Aidi Sham berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan susulan dan kini dalam pemerhatian pegawai perubatan.

“Siasatan awal kami percaya bayi itu baru dilahirkan lalu ditinggalkan di depan rumah berkenaan.

“Usaha mengesan ibu kandung bayi berkenaan sedang dilakukan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai atau mana-mana klinik yang mempunyai maklumat berkaitan wanita mendapatkan rawatan kelahiran diminta menghubungi pihaknya dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:15 PM