GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


TERLALU nyenyak tidur menyebabkan seorang lelaki tidak sedar teman wanitanya meninggal dunia dan kondominium mereka di Teluk Kemang, Port Dickson dikunjungi pasukan keselamatan.

Kejadian berlaku 11.25 pagi semalam selepas pasukan polis dan bomba menerima maklumat daripada rakan mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa dikenali Wong Mui Lian, 59, ditemui tidak sedarkan diri atas sofa di ruang tamu dan mati akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, katanya, teman lelaki mangsa yang tidur di dalam bilik tidak menyedarinya dan tidak juga membuka pintu ketika pihak berkuasa ke kediaman berkenaan.

“Sebelum itu, mangsa yang bekerja di kedai peralatan sukan tidak hadir kerja sejak kelmarin menyebabkan rakan menghubunginya tetapi tiada jawapan serta ke rumah itu.

“Ketika mereka tiba, pintu hadapan berkunci dan mereka menghubungi polis dan bomba pada 11.25 pagi semalam untuk bantuan.

“Sepasukan polis dan bomba ke kondominium itu, terpaksa memecahkan pintu hadapan dan menemui mangsa di sofa ruang tamu. Pemeriksaan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh 24 jam dan siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga menemui teman lelaki mangsa sedang nyenyak tidur di dalam bilik hingga terpaksa dikejutkan.

“Lelaki berusia 50-an itu terkejut sebaik dimaklumkan mengenai keadaan teman wanitanya. Dia mendakwa pulang kerja lewat dan tidak sempat berbual dengan mangsa,” katanya

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk dibedah siasat dan punca kematian disahkan akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 3:30 PM