GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hotel Premiere Klang yang mula beroperasi semalam, mempunyai kemampuan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 sehingga 1,500 dos sehari.

Pengurus Hotel Premiere, Christopher Chan berkata, pembukaan PPV berkenaan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat setempat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya, PPV itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam dari 15 Julai sehingga 17 November ini.

"Seramai 130 individu terdiri daripada kakitangan hotel, sukarelawan dan pegawai perubatan ditugaskan untuk menguruskan proses vaksinasi.

"Dewan besar hotel ini mampu menyediakan kemudahan untuk memberi 1,500 suntikan dos vaksin setiap hari selain mempunyai kemudahan penyimpanan vaksin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meletakkan papan tanda di sepanjang laluan untuk memudahkan akses penerima vaksin selain menyediakan kemudahan kerusi roda untuk penerima kurang upaya.

Christopher berkata, pihaknya akan memastikan fasiliti hotel dapat digunakan sepenuhnya untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok di Klang sekali gus masyarakat setempat dapat kembali meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

"Kami berharap lebih ramai individu dilindungi melalui program vaksinasi dan ini membolehkan orang ramai melancong di masa depan," katanya.

Katanya, Hotel Premiere juga optimis dengan pemulihan semula sektor pelancongan yang paling terjejas akibat penularan pandemik Covid-19, sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 9:48 PM