MUHYIDDIN bersama Noorainee beramah mesra dengan penerima vaksin ketika melawat ke PPV di Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir. FOTO Bernama
MUHYIDDIN bersama Noorainee beramah mesra dengan penerima vaksin ketika melawat ke PPV di Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir. FOTO Bernama
BERNAMA

Muar: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat berseloroh dengan sekumpulan masyarakat Orang Asli yang hadir mendapatkan suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Pagoh di sini, hari ini, bagi menghilangkan gemuruh mereka sebelum disuntik.

Ahli Parlimen Pagoh itu hadir di PPV berkenaan bagi meninjau proses pemberian vaksin kepada masyarakat setempat serta kemudahan yang disediakan di pusat itu termasuk sebuah bas yang dijadikan Unit Vaksinasi Bergerak.

Dalam kesempatan itu, beliau bertanyakan sama ada masyarakat Orang Asli itu berasa takut untuk disuntik atau tidak.

"Okay tidak, ada rasa takut ke? " sapa beliau yang kemudian dijawab secara spontan oleh seorang daripada mereka yang memberitahu: "Memang kami sebenarnya sudah berasa takut."

Difahamkan, kumpulan itu adalah sebahagian daripada 38 orang dari masyarakat Orang Asli dari Kampung Searak Api, Pagoh dan Kampung Sentosa, Lenga yang dijadual menerima suntikan vaksin mereka hari ini.

Mengiringi Muhyiddin dalam lawatan kira-kira 30 minit itu ialah isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal dan Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang.

Sementara itu, Ida Kandi, 34, seorang daripada masyarakat Orang Asli berkenaan berkata dia terkejut dan teruja apabila disapa Perdana Menteri, apatah lagi ini kali pertama dia bersemuka dengan pemimpin nombor satu negara itu.

"Saya rasa seronok sampai tidak tahu hendak cakap apa... sebab saya datang dengan suami untuk dapatkan vaksin dan kebetulan beliau (Perdana Menteri) datang dan bertanya khabar, jadi tergamam sekejap tetapi kemudian berasa bersemangat sedikit," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksinnya.

Ida berkata, dia mengakui takut disuntik tetapi tetap memberanikan diri demi keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga keluarganya.

PPV Dewan Serbaguna Pagoh yang mula beroperasi sejak 6 Jun lalu adalah PPV (bukan kesihatan) kedua di daerah ini selepas Dewan Maharani dan berupaya memberikan suntikan sehingga 700 suntikan sehari melalui pembabitan seramai 50 petugas dari pelbagai agensi kerajaan dan 20 sukarelawan.

Mengikut statistik Laporan Vaksinasi Covid-19 Negeri Johor, sehingga Ahad lalu, Muar merekodkan seramai 35,490 penerima vaksin dos pertama manakala 15,719 orang yang sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:48 PM