GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 13 lokaliti dalam daerah Kuantan, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 31 Julai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil kira risiko serta trend jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Beliau berkata, 13 lokaliti terbabit PKPD di daerah Kuantan itu ialah Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sg Soi, Kg Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas & Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku.

"Turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama adalah membabitkan beberapa lokaliti di Selangor iaitu Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara, daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang, daerah Klang dan Taman Samudera, mukim Batu di daerah Gombak.

"Beberapa lokaliti di Sabah juga dikenakan perintah sama bagi tempoh sama iaitu Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, mukim Silabukan, Lahad Datu; Kampung Pinolobuh Bukid, Kota Belud serta PPR Taman Ehsan, Kudat, Sabah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tiga lokaliti di Bahagian Kuching, Sarawak juga dikenakan PKPD bermula 18 Julai hingga 31 Julai 2021 iaitu Kampung Seratau, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar.

Turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama, katanya, membabitkan Taman Chengal di Temerloh, Pahang.

"Prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," katanya.

Sementara itu, katanya, perintah PKPD di dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Siasai Dundau, Kota Belud dan Kampung Naruntung, Pitas yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan lagi hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur & Asrama Pekerja, Kuala Muda, Kedah, esok.

"Selain itu PKPD yang tamat esok 17 Julai 2021 ialah Kampung Pantai Emas di Kota Belud, Kampung Iban Kuala Nansang di Tawau dan Kampung Babagon di Penampang, Sabah.

"PKPD Taman Nagasari, Mukim 6, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang juga tamat esok manakal PKPD di Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan ditamatkan lusa 18 Julai 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:51 PM