GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak 10 lokaliti di Perak, empat di Pahang dan tiga di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 8 hingga 21 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, enam daripada 10 dikenakan PKPD di Perak adalah membabitkan lokaliti di Pulau Pangkor iaitu Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

Katanya, turut dikenakan perintah sama di negeri itu ialah Tapak Bina Horizon di Kinta, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan dua lokaliti di mukim Sungkai, Batang Padang iaitu Kampung Perlok Baru serta Kampung Perlok.

"Kawasan di Pahang yang dikenakan PKPD pula adalah Kuala Tahan, Jerantut, tiga lokaliti di Temerloh iaitu Taman Sri Layang dan Taman Rimba di Mentakab serta Taman Tualang Indah.

"Bagi Sabah pula adalah membabitkan dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan. Turut dikenakan PKPD, Kampung Lohan 1, Ranau," katanya dalam kenyataan media mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.

Menurutnya, SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

"PKPD ini dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di lokaliti yang berkenaan," katanya.

Sementara itu, katanya, dua lokaliti PKPD yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan lagi iaitu Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 & 2, Dalat, Mukah, Sarawak (dilanjutkan berkuatkuasa 8 Ogos hingga 14 Ogos 2021) serta Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu, Sabah (dilanjutkan berkuatkuasa 8 hingga 21 Ogos 2021).

Beliau turut mengumumkan kawasan PKPD yang akan ditamatkan esok seperti dijadualkan iaitu Taman Hock Ann, Jln Klang Lama, Kuala Lumpur; Taman Sabana Fasa 1, Keningau, Sabah; Kampung Berhala dan Kampung Melayu Bumiputra, Sandakan, Sabah; Kampung Nagapas, Jln Kebun Lama, Papar, Sabah; Kampung Kolam, Kudat, Sabah serta lima lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah iaitu Taman Sepanggar, Blok D dan E, Apartment Angkasa, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan dan Kampung Lokub.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:51 PM