GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan beberapa lokasi di Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah bermula 28 Mei sehingga 10 Jun 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas membuat penilaian risiko, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju melaksanakan PKPD di Mukim Parit Buntar, Kerian, Perak; serta Pangsapuri Permai (semua blok) dan Blok C dan D, Pangsapuri Sri Penara di ibu negara.

Katanya, PKPD turut dilaksanakan di Taman Dato' Tengku Paris dan Felda Tersang 1,2 & 3, Mukim Batu Talam, Raub Pahang.

"KKM mendapati kes telah menular di semua lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3, di Kunak, Sabah.

Menurutnya, PKPD juga turut dilaksanakan Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung di Tawau untuk tempoh sama.

"SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata PKPD Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Peagat 3, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan bermula 28 Mei sehingga 4 Jun 2021 iaitu mengikut tarikh PKPD di semua mukim dalam daerah Besut.

Beliau turut mengumumkan PKPD di Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam, Raub, Pahang tamat esok seperti dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 7:30 PM