GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pelanggan menggunakan tenaga secara berhemah untuk masa depan yang lestari dalam usaha menyokong sambutan Earth Hour Sedunia.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah paling mudah untuk pengguna menjimatkan tenaga di kediaman atau premis masing-masing adalah mematikan lampu.

"Faktor gaya hidup mempunyai impak yang lebih besar terhadap pelepasan karbon.

"Semua pengguna boleh menjalankan peranan mereka dalam usaha menyelamatkan planet (bumi) ini menerusi pengurangan jejak karbon dengan menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga serta mengamalkan penggunaan elektrik yang bijak," katanya.

Katanya, antara langkah mudah pengguna boleh menetapkan sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah selsius di samping mematikan lampu atau peralatan bukan elektrik lain sekiranya tidak digunakan.

"Pelanggan juga boleh memperolehi lebih penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan menggantikan lampu biasa dengan lampu model diod pemancar cahaya (LED) yang lebih cekap tenaga.

"Selain itu, mereka harus mengeringkan jemuran di bawah matahari berbanding menggunakan mesin pengering selepas mencuci pakaian.

"Sebagai syarikat utiliti yang bertanggungjawab, TNB sentiasa berusaha untuk menggunakan teknologi yang bersih dan mesra alam sekitar dalam penjanaan elektrik.

"TNB berhasrat untuk menjadi pembekal penyelesaian tenaga mampan terkemuka di Malaysia dan antarabangsa," katanya.

Menurut kenyataan itu, di bawah komitmen kelestarian kumpulan, TNB menyasarkan kapasiti penjanaan RE sejumlah 8.3 GW menjelang 2025.

"Kumpulan berhasrat untuk berhenti melabur dalam loji janakuasa arang batu baharu (greenfield) dan mengehadkan pendapatan daripada loji janakuasa arang batunya pada 25 peratus," katanya.

Earth Hour adalah kempen tahunan sedunia anjuran The World Wide Fund for Nature (WWF) bagi menggalakkan individu, komuniti dan perniagaan untuk mematikan lampu elektrik bukan penting selama satu jam, bermula 8.30 sehingga 9.30 malam pada Sabtu terakhir Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 4:17 PM