SUSPEK ditembak selepas melakukan serangan ke atas polis di Padang Besar, semalam. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK ditembak selepas melakukan serangan ke atas polis di Padang Besar, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Aizat Sharif


Padang Besar: Lelaki maut ditembak selepas cuba menyerang polis dengan pedang, dalam kejadian amuk di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, kejadian berlaku pada 6.50 petang, selepas sepasukan pegawai dan anggota ke rumah lelaki berusia 55 tahun itu untuk membuat tangkapan susulan laporan berkaitan kes keganasan rumah tangga.

Katanya, sebelum itu pada 2.48 petang, isteri suspek berusia 52 tahun membuat laporan yang mendakwa ditampar, ditarik rambut, dihentak muka ke lantai dan dipijak oleh suspek, selain turut diacu kapak di leher.

"Mangsa mendakwa diperlakukan demikian selepas menegur suspek yang dilihat marah dan bercakap sendirian.

"Susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar ke rumah pasangan terbabit untuk membuat tangkapan.

"Bagaimanapun, ketika anggota tiba pada 5.30 petang, suspek enggan beri kerjasama, malah tidak mahu keluar yang menyebabkan anggota masuk menerusi tingkap rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata, ketika itu suspek dilihat memegang sebilah pedang dan agresif termasuk cuba membakar rumah dan rambutnya.

Menurutnya, usaha memujuk suspek berlangsung lebih sejam dengan bantuan anak lelakinya tetapi gagal, dan suspek menjadi lebih agresif serta mula melibas dengan pedang, yang menyebabkan dua anggota cedera di tangan dan kaki serta kepala.

"Tindakan suspek yang terus menyerang menyebabkan anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arahnya untuk keselamatan dan suspek disahkan meninggal dunia.

"Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat, manakala anggota cedera dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar," katanya.

Katanya, semakan dibuat pihaknya mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat dan kesalahan mengikut Akta Racun 1952, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 8:57 AM