Aizat Sharif


Padang Besar: Polis menumpaskan kegiatan Kumpulan Wa yang aktif mengedar dadah di daerah berkenaan selepas merampas dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM84,191.92 di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dadah berkenaan dirampas selepas menahan empat suspek termasuk seorang wanita serta ketua kumpulan berkenaan warga Thailand berusia antara 21 hingga 33 tahun dalam tiga serbuan berasingan.

"Dalam serbuan pertama, pada 16 Ogos jam 12.15 tengah hari, polis menahan dan membuat pemeriksaan terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di dalam daerah Padang Besar.

"Semasa pemeriksaan dibuat, polis menjumpai bekas plastik yang didalamnya mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 57.72 gram (gm).

"Penahanan wanita itu kemudian membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek termasuk dua warga Thailand pada keesokan harinya pada 2.45 petang dalam serbuan di sebuah rumah di sini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, di sini hari ini.

Saifudin berkata, ketika serbuan, polis dua suspek termasuk ketua kumpulan berusia 33 tahun dan rakannya berusia 27 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah disyaki jenis syabu seberat 2.149 kilogram (kg) dan ganja seberat 1.972 kg yang disimpan di dalam beg kain dan ditanam di dalam tanah berhampiran rumah ketua kumpulan sindiket ini.

"Pada 9 malam Jumaat lalu pula, polis menyerbu sebuah rumah lagi tidak bernombor di daerah ini.

Katanya, dalam serbuan pihaknya memberkas seorang lelaki warga Thailand berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan ini.

"Hasil ujian air kencing pada kesemua suspek, tiga daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan berkenaan mulai aktif sejak bulan lalu dengan mendapatkan bekalan dari negara jiran menggunakan 'lorong tikus' yang banyak terdapat di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

"Dadah ini kemudian disimpan dalam beg sebelum dimasukkan ke dalam lubang tanah yang sudah digali berhampiran kediaman ketua kumpulan ini.

"Ia hanya akan dikeluarkan apabila terdapat permintaan daripada 'tokan' dadah kecil untuk dijual kepada penagih dadah di sekitar daerah ini.

"Malah, kita percaya bekalan syabu yang diperoleh mereka juga didapati dari Vietnam kerana syabu ini didapati sudah pun dibungkus semula menggunakan bungkusan teh herba Cina yang sering digunakan oleh sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa untuk menyeludup dadah," katanya.

Saifudin berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta Honda Civic 1.8 milik kumpulan ini yang dianggarkan RM40,000 dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah sekitar daerah itu.

"Suspek direman sehingga esok. Berdasarkan rekod jenayah lampau, kesemua suspek mempunyai rekod membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Saifudin (tengah) menunjukkan rampasan dadah ganja dan syabu oleh polis Padang Besar sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superitendan Som Chai Din Lian (kiri sekali), Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar, Inspektor Mohd Azmeer Jalaluddin (dua dari kanan). FOTO AIZAT SHARIF
Saifudin (tengah) menunjukkan rampasan dadah ganja dan syabu oleh polis Padang Besar sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superitendan Som Chai Din Lian (kiri sekali), Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar, Inspektor Mohd Azmeer Jalaluddin (dua dari kanan). FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 1:35 PM