PACUAN empat roda yang terbalik selepas melarikan diri daripada polis, dipercayai membawa 500kg daun ketum. FOTO Ihsan Polis.
PACUAN empat roda yang terbalik selepas melarikan diri daripada polis, dipercayai membawa 500kg daun ketum. FOTO Ihsan Polis.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Sebuah pacuan empat roda yang terbalik selepas dikejar peronda polis di Kampung Kolam di sini, didapati membawa 500 kilogram daun ketum.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, kenderaan itu jenis Mitsubishi Pajero ditemui pasukan peronda kira-kira 8 pagi semalam dan dilihat mencurigakan.

"Anggota mengesyaki pemandunya ada membawa barang larangan dan mengejar kenderaan itu selepas suspek memecut laju.

"Dia berjaya meninggalkan kereta peronda namun tiba-tiba kenderaannya hilang kawalan, terbabas dan terbalik di kawasan lapang dekat kampung itu.

"Suspek dipercayai cedera dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran, manakala pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 15 guni berwarna putih yang berisi daun ketum," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin Aslin berkata, nilai rampasan ketum bernilai RM15,000 dan dipercayai cuba diseludup ke Thailand menggunakan laluan tikus di Felda Mata Ayer, di sini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat pengedaran dadah dan penyeludupan ketum diminta menghubungi talian hotline 04-9491481.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 10:27 AM