Anggota keselamatan menemui 232 bungkusan daun ketum yang disembunyikan di bahagian dalaman pintu kereta Proton Saga Iswara dan Proton Persona dalam dua kejadian berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Kaki Bukit, Padang Besar. FOTO IHSAN IPD PADANG BESAR
Anggota keselamatan menemui 232 bungkusan daun ketum yang disembunyikan di bahagian dalaman pintu kereta Proton Saga Iswara dan Proton Persona dalam dua kejadian berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Kaki Bukit, Padang Besar. FOTO IHSAN IPD PADANG BESAR
Aizat Sharif


Padang Besar: Tindakan dua lelaki menyembunyikan 242 bungkus daun ketum seludup di ruang dalaman kereta masing-masing, mengundang padah apabila dikesan pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kaki Bukit di sini.

Kedua-duanya berusia 23 tahun dan 38 tahun itu ditahan secara berasingan mulai 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, suspek pertama berusia 23 tahun yang memandu Proton Iswara ditahan selepas dilihat mencurigakan dan pemeriksaan menemui 112 bungkusan daun ketum yang disembunyikan termasuk di bahagian pintu.

"Lima jam kemudian, anggota menahan pula pemandu Proton Persona yang mencurigakan apabila melalui SJR pada 9.45 malam dan pemeriksaan lanjut menemui 130 bungkusan kecil daun ketum yang disorokkan di bahagian dalam semua pintu kereta dan but," katanya ketika dihubungi hari ini.

Saifudin Aslin berkata, siasatan awal dijalankan mendapati kedua-dua kes tidak berkaitan namun, suspek dipercayai cuba menuju ke kawasan Wang Kelian untuk menyeludup daun ketum itu menerusi lorong tikus sempadan Malaysia-Thailand.

"Walaupun kesemua rampasan hanyalah dianggar bernilai RM1,500 sahaja, tetapi cubaan mereka menyembunyikan daun ketum di sebalik bahagian dalaman kereta amatlah serius," katanya yang memberitahu pihaknya mengetatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeludup barang larangan ketika tempoh sekatan pergerakan penuh.

Menurutnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 serta penjara sehingga empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:06 PM