PACUAN empat roda milik penyeludup ketum yang merempuh kenderaan polis di Felda Mata Ayer, Padang Besar, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
PACUAN empat roda milik penyeludup ketum yang merempuh kenderaan polis di Felda Mata Ayer, Padang Besar, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA anggota polis pengiring Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri cedera selepas dilanggar pacuan empat roda dipandu penyeludup ketum di Felda Mata Ayer, Padang Besar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 12.30 tengah hari ketika mangsa berusia 52 dan 27 tahun sedang mengiringi menteri terbabit dalam lawatan seharinya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, ketika kejadian kenderaan dipandu suspek berusia 43 tahun sedang dikejar anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, penyeludup yang membawa lebih 570 kilogram daun ketum dalam kenderaan itu melanggar dua anggota pengiring motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta peronda polis.

"Suspek dipercayai sedang dalam perjalanan ke tembok sempadan (Malaysia/Thailand) sebelum terserempak dengan pasukan keselamatan yang sedang melakukan rondaan.

"Pasukan PGA bertindak mengejarnya sebelum kenderaan itu bertembung dengan rombongan menteri yang melakukan lawatan di Felda Mata Ayer.

"Sejurus pelanggaran itu, suspek ditahan oleh anggota polis yang ketika itu memberhentikan kenderaan bagi memeriksa anggota yang cedera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, hari ini.

Saifudin berkata, kedua-dua anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian kanan badan, dan salah seorang daripadanya mengalami sesak nafas.

"Mereka kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar," katanya.

"Suspek warga tempatan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 108 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:07 PM