FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zaid Salim


Marang: Pertemuan dan 'kenduri' secara senyap di kalangan ahli keluarga dan saudara mara dikatakan menjadi punca muncul kluster besar serentak menyebabkan kes Covid-19 di negeri ini kembali meningkat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, sikap segelintir individu sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) semakin membimbangkan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

Beliau berkata, menjelang perayaan itu, pihaknya yakin akan berlaku rentas negeri atau daerah seperti berlaku ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Kita tahu akan ada pihak yang melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan) dan mungkin ada antara mereka yang membawa virus bersama, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari negeri situasi Covid-19 sangat mencabar.

"Kita tidak boleh halang orang untuk rentas negeri atau daerah, tetapi orang ramai diharap sentiasa mematuhi SOP terutama ketika melakukan ibadah korban.

"Orang ramai juga diharap tidak melakukan pertemuan keluarga dan berhimpun dalam jumlah yang ramai selain tidak melakukan kenduri senyap-senyap bagi mengelak tercetusnya kluster baharu," katanya kepada media pada Program Jelajah Vaksinasi Pulau Siri I di Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Katanya, JKNT sudah menyediakan SOP untuk aktiviti korban tetapi bimbang pertemuan keluarga dan aktiviti makan secara senyap boleh menyebabkan kluster baharu timbul.

"Harapan kami, boleh adakan korban tapi masih dalam ruang lingkup SOP yang ditetapkan," katanya.

Mengulas peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Terengganu, Dr Nor Azimi berkata, ia dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

"Bilangan kes akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu di daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

"Semua kluster itu wujud daripada aktiviti berhimpun anak-beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan, tapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku menyebabkan ia merebak dengan pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:41 PM