PENGUNJUNG mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki ruang bazar untuk membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Kampung Pengadang Baru. FOTO Ghazali Kori.
PENGUNJUNG mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki ruang bazar untuk membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Kampung Pengadang Baru. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang memantau 68 bazar Ramadan yang ada di seluruh negeri bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus mengelak wujudnya kluster baharu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua bazar Ramadan yang ada.

"Semalam, bazar Ramadan Tok Adis, Kuala Ibai di sini menjadi bazar pertama di Terengganu diarah ditutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam tadi (Jumaat) hingga 30 April ini kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Sudah dua hari Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 harian tertinggi iaitu 1.49 (pada Khamis) dan 1.34 (semalam)... Sebab itu kita sentiasa mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang disediakan.

"Kita (JKNT) bukan mahu menyusahkan peniaga tetapi terpaksa bertegas kerana kita tidak mahu wujud lagi kluster baharu disebabkan bazar Ramadan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, ketika ini, ada lapan kluster aktif di negeri ini iaitu Kluster Ladang Bukit, Chendering Height, Wakaf Chagak, Kampung Belaoh, Kampung Tanjung, Ara Murni, Jalan Kota Kubang Labu dan Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April lalu.

"Kita tidak bimbang dengan kluster Kampung Belaoh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan manakala kluster yang lain juga dalam kawalan, namun kita bimbang melihat beberapa bazar yang dilihat gagal mematuhi SOP yang ada.

"Kita terkilan kerana SOP Bazar Ramadan sudah disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi pelanggaran SOP tetap berlaku.

"Kita harap penganjur dan peniaga dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan manakala pengunjung juga perlu memainkan peranan kerana semua ada tanggungjawab dalam melawan Covid-19 serta tidak memandang remeh isu pelanggaran SOP ini," katanya.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan termasuk satu yang ditutup sementara dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 5:24 PM