Rahmad Mariman (kiri) menemani Sulaiman Md Ali meninjau Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi Covid-19 DUN Kuala Linggi di Dewan JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Rahmad Mariman (kiri) menemani Sulaiman Md Ali meninjau Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi Covid-19 DUN Kuala Linggi di Dewan JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Masjid Tanah: Selepas hospital di Selangor dan Kuala Lumpur 'sesak' teruk dengan pesakit covid-19, kini kapasiti Hospital Melaka turut mencapai tahap kritikal 91.5 peratus semalam.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sebanyak 400 katil daripada keseluruhan 444 katil di hospital berkenaan sudah penuh, sekali gus menyebabkan sebilangan kecil pesakit covid-19 terpaksa dipindahkan ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin.

Beliau menjelaskan, pengurusan hospital itu terpaksa menggunakan setiap ruang termasuk tempat parkir ambulans, bilik mesyuarat, stor dan auditorium untuk meletakkan katil tambahan berikutan pertambahan jumlah pesakit covid-19.

"Varian baru covid-19 menyebabkan jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima bertambah dan mereka perlu dirawat untuk tempoh yang lama hingga sebulan atau lebih.

"Nasihat saya, janganlah kena covid-19 sekarang kerana Hospital Melaka sudah penuh dan keadaan ini amat membimbangkan kami," katanya selepas menemani Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meninjau Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi COVID-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, di sini, tadi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersyukur apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibina di Jasin.

"Hospital yang mempunyai 70 katil itu berfungsi merawat pesakit bukan covid-19 dalam tempoh seminggu lagi," katanya.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang giat dijalankan sekarang, beliau berkata, kerajaan negeri yakin sasaran memberikan 13,000 dos vaksin sehari mampu dicapai tidak lama lagi.

"Setakat ini kita mampu memberikan 11,000 dos vaksin sehari dan saya yakin kita mampu memberi 13,000 dos sehari dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota komuniti berusia lebih 60 tahun tetapi masih belum menerima vaksin supaya segera menghubungi Bilik Gerakan Vaksin Negeri dan Daerah.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Vaksin Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876 atau 06-2930164.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:24 PM