Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ribuan pekerja asing di negeri ini akan dipindahkan ke beberapa kawasan penempatan khas kekal bagi mengurangkan kes jangkitan covid-19.

Menjelaskannya, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri meminta majikan memberikan kerjasama bagi memastikan kes covid-19 yang membabitkan pekerja asing mampu dikurangkan.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa lokasi seperti bangunan berhampiran Melaka Sentral yang mampu menempatkan 1,400 pekerja, selain bangunan milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di beberapa lokasi tertentu.

Tanpa menyebut jumlah keseluruhan pekerja asing, Sulaiman berkata, penyediaan penempatan khas untuk pekerja asing terdapat dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Bagaimanapun setakat ini ia belum diterapkan sepenuhnya kepada majikan.

"Di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh ada hampir 3,000 pekerja asing dengan kebanyakan majikan menempatkan mereka di taman perumahan atau asrama berhampiran dengan taman perumahan masyarakat tempatan.

"Ia menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan rakyat tempatan selain masalah sosial yang berpunca daripada pekerja asing," katanya selepas meninjau Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi COVID-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, di sini, tadi.

Sulaiman juga berkata, kerajaan negeri yakin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dijalankan sekarang mampu membawa negeri ini ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos depan.

Katanya, kerajaan negeri meletakkan sasaran sebanyak 13,000 dos suntikan vaksin sehari mampu direalisasikan tidak lama lagi berbanding 11,000 dos sehari sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:36 PM