MOHD Shuhaily. FOTO Mikail Ong
MOHD Shuhaily. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Enam anggota polis negeri ini dilaporkan terbabit dalam kegiatan rasuah, pemerasan dan dadah.

Mereka membabitkan empat anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan dua anggota IPD Seberang Perai Selatan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, enam anggota itu berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 30-an.

"Tiga anggota itu terbabit dalam siasatan kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Manakala dua lagi anggota terbabit dalam pemerasan dan seorang lagi kes dadah.

"Kes ini berlaku dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 1 Julai lalu dan kesemua mereka kini ditempatkan di bahagian pentadbiran yang tidak membabitkan urusan luar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, bukan setakat SPRM malah siasatan turut dilakukan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Pulau Pinang bagi tindakan tatatertib.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam rasuah, jenayah serta melanggar etika pasukan beruniform ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku anggota dan pegawai polis diminta menghubungi IPK Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 4:11 PM