Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran ganja seberat 163.65 kilogram (kg) bernilai RM409,125 menerusi sembilan serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah, Rabu lalu.

Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama JSJN Bukit Aman itu turut menahan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan antara 12.30 tengah hari hingga 2.10 petang itu dilakukan di beberapa lokasi yang mana lapan daripadanya di Pulau Pinang dan satu di Sungai Petani, Kedah.

Satu daripada serbuan terhadap sebuah stor milik tukang gunting rambut berusia 25 tahun di Lebuh Sungai Pinang itu membawa kepada penemuan 153 ketulan mampat ganja seberat 153.7 kg.

"Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket terbabit aktif sejak November tahun lalu bagi pasaran tempatan.

"Kesemua suspek berusia 25 hingga 55 tahun itu bekerja sebagai kerani bank, mekanik, pesara, tukang gunting rambut, peniaga serta penganggur," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati empat daripadanya positif Tetrahydrocannabinol (THC), manakala lima lagi negatif daripada sebarang pengambilan dadah.

"Semakan juga mendapati empat daripada suspek itu mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Empat daripadanya direman selama tujuh hari sehingga 6 April, manakala lima lagi direman selama tiga hari sehingga esok (2 April) bagi membantu siasatan.

"Turut disita adalah lapan kenderaan, empat barang kemas, tiga jam tangan dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM234,550.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM643, 675.

"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 327,400 penagih dadah," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily, pihaknya percaya kesemua ganja itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di utara tanah air menerusi jalan darat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 5:43 PM