Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Warga emas tidak menyangka kehadiran pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan ke rumahnya, hari ini memberi rezeki buatnya apabila menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Ibu tunggal dua anak, Azizah Chik, 67, berkata dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan bekalan makanan sekali gus dapat meringankan bebannya di musim pandemik Covid-19.

"Saya tinggal seorang diri di rumah dan bekalan makanan ini cukup untuk menampung keperluan dapur pada tempoh sukar ini.

"Wang tunai ini akan digunakan dengan sebaik mungkin di samping bantuan daripada dua anak yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan serta kakitangan awam," katanya.

HANIF Yusabra (tengah) diiringi oleh timbalannya, Azhar (kiri) menyampaikan pek makanan kepada 50 keluarga golongan asnaf yang terjejas akibat Covid-19 sempena Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HANIF Yusabra (tengah) diiringi oleh timbalannya, Azhar (kiri) menyampaikan pek makanan kepada 50 keluarga golongan asnaf yang terjejas akibat Covid-19 sempena Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, Azizah menerima bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf menerusi Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong, di sini.

Menerusi program itu, seramai 50 keluarga kurang bernasib baik menerima bantuan berkenaan.

Penerima lain, Nur Fitriah Ibrahim, 29, berkata bantuan itu dapat meringankan beban keluarganya kerana suami Mohd Shuhairi Kamarudin, 34, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,200 sebulan.

"Dengan gaji itu, suami perlu menanggung saya dan lima anak berusia dua hingga 11 tahun. Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada JPJ yang sudi memberi sumbangan kepada kami," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 3:46 PM