Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 157 kenderaan klon di negeri ini sejak 2016 hingga Mac tahun ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, permintaan terhadap kereta klon sentiasa ada kerana harganya lebih murah, selain mudah terpengaruh untuk memiliki kenderaan ini.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, kenderaan klon amat digemari golongan muda berusia antara 25 hingga 45 tahun.

"Bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak lapan kereta klon disita termasuk kereta mewah.

"Sebagai contoh, kenderaan kompak Honda Jazz yang diklon dijual lebih murah iaitu RM5,000 berbanding harga pasaran, RM85,000 menyebabkan peminatnya memilih untuk membelinya.

"Penggunaan kenderaan klon boleh memberi implikasi kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan kerana tidak dilindungi insurans," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Operasi Kenderaan Klon di JPJ Kelantan di Panji, di sini, hari ini.

HANIF Yusabra (kiri) memeriksa casis kereta klon yang dirampas dalam Operasi Kenderaan Klon. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HANIF Yusabra (kiri) memeriksa casis kereta klon yang dirampas dalam Operasi Kenderaan Klon. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Hanif Yusabra berkata, bagaimanapun, ada juga sindiket yang menggunakan rekod kenderaan kemalangan untuk digunakan terhadap kenderaan klon.

"Modus operandi pengusaha kenderaan klon masih sama iaitu mengiklankan melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi Telegram untuk mempengaruhi orang ramai membeli kenderaan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang boleh diambil tindakan terhadap pengguna atau individu yang memiliki kenderaan klon adalah menggunakan kenderaan tidak didaftarkan.

Katanya, seseorang itu boleh dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000.

"Selain itu, jika didapati mempamerkan maklumat palsu (nombor pendaftaran), individu berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) APJ 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjara tidak kurang dan tidak lebih lima tahun jika disabit kesalahan.

"Bagi yang tidak mempunyai perlindungan insurans boleh didakwa mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:41 PM