Syaherah Mustafa


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyasarkan bidaan nombor pendaftaran DDU melebihi RM1.35 juta, yang dibuka selama lima hari bermula esok sehingga 17 Ogos.

Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata, jumlah itu membabitkan DDU 1, DDU8, DDU17, DDU 74 dan DDU 8055 yang mana keputusan bidaan berkenaan akan diumumkan pada 18 Ogos.

Katanya, harga bidaan mengikut nilai minimum ditetapkan berdasarkan kategori iaitu nombor utama yang bermula RM20,000; nombor menarik RM3,000; nombor popular RM800 dan nombor biasa ialah RM300.

"Pendaftaran untuk pembidaan boleh dilakukan di portal http:/.jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih JPJebid, yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas selain syarikat berdaftar.

"Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tiada rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu di pejabat JPJ negeri atau cawangan JPJ kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC).

"Setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi syarikat tidak melebihi lima nombor sahaja," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, pada Ogos 2019 hingga Mei 2020, pihaknya mengutip hasil bidaan melebihi RM6.8 juta membabitkan nombor pendaftaran DDP, DDQ, DDR, DDS dan DDT.

HANIF Yusabra (kanan) dan pegawainya menunjukkan nombor pendaftaran yang dibuka untuk bidaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
HANIF Yusabra (kanan) dan pegawainya menunjukkan nombor pendaftaran yang dibuka untuk bidaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Katanya, bidaan paling tinggi ialah DDS 1 iaitu bernilai RM225,000, namun rekod paling mahal setakat ini adalah DDD yang bernilai RM7.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 12:00 PM