PETUGAS berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengawal kehadiran pesakit di CAC Dewan Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar.
PETUGAS berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengawal kehadiran pesakit di CAC Dewan Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di Dewan Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, akan dipindahkan dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Pengurusan) Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengenal pasti lokasi lain yang sesuai.

Menurutnya, penilaian semula sedang dilakukan pihaknya berikutan kegusaran penduduk berhampiran.

"Hasil perbincangan pegawai kesihatan, pegawai daerah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), penghadang dibuat antara mengasingkan kawasan CAC dan kawasan penempatan penduduk.

"Kita juga menambah anggota untuk mengawal lalu lintas dan menguruskan aliran pesakit untuk ke CAC itu. Pada masa sama, kita meletakkan beberapa khemah dan kerusi untuk pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bersetuju menyemak semula dan cadangan memindahkan CAC Dewan Taman Sri Andalas ke lokasi lain.

Mengenai kesesakan yang berlaku di CAC Stadium Melawati, Shah Alam, Dr Sha'ari berkata, jumlah kehadiran pesakit Covid-19 meningkat secara mendadak semalam.

Menurutnya, CAC Melawati merekodkan kehadiran 4,483 orang semalam berbanding purata 1,500 orang sehari sebelum ini.

"Bagi mengatasi perkara itu, kita mengambil langkah segera dengan membuat tambahan 85 kakitangan yang dimobilisasi dari klinik kesihatan Selangor dan negeri lain.

"Kita juga mewujudkan tiga laluan dengan memberi keutamaan kepada warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). Laluan khas juga disediakan untuk individu yang tamat kuarantin bagi pemotongan gelang," katanya.

Bagi mengatasi masalah sama, katanya, kesemua 27 CAC di Selangor akan beroperasi setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:52 PM