Kelihatan petugas barisan hadapan membantu warga emas yang hadir menunggu giliran di luar perkarangan Pusat Penilaian COVID-10 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kelihatan petugas barisan hadapan membantu warga emas yang hadir menunggu giliran di luar perkarangan Pusat Penilaian COVID-10 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tiga belas bas digunakan bagi membawa pesakit Covid-19 ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Melawati, Seksyen 13 di sini, pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman yang berada di CAC berkenaan sejak pagi tadi berkata, pihaknya menjangkakan angka pesakit yang datang melebihi 4,000 pada hari ini.

"Saya ke sana kira-kira jam 9.30 pagi, memang ramai, saya dapati 13 bas menurunkan pesakit dengan kenderaan juga melimpah-limpah, ramai pesakit.

"Pagi tadi memang ramai, tetap kita dapat uruskan semua pesakit yang datang dengan sebaik mungkin, dijangkakan hari ini jumlah keseluruhan pesakit lebih 4,000.

"Kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi, saya keluar tengok, tiada lagi yang beratur di luar stadium," katanya dihubungi.

Dr Sha'ari berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang beratur panjang tidak dapat dielakkan kerana jumlah mereka yang hadir memang ramai.

"Memang akan nampak ramai sebab bas sampai 13 buah, kemudian semua pesakit turun kena beratur sebelum masuk ke stadium.

"Keadaan ini berlaku setiap hari selagi kes Covid-19 masih banyak. Orang awam juga nampak pesakit Covid-19 beratur dan ambil gambar," katanya.

Sementara itu, tinjauan pagi tadi mendapati, pesakit Covid-19 yang ingin memasuki CAC berkenaan beratur sehingga ke kawasan perkarangan parkir Stadium Melawati.

Pesakit itu pula terdiri daripada warga tempatan dan asing.

Turut kelihatan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus membantu pesakit sebelum masuk termasuk memberi makanan serta minuman selain menguruskan barisan pesakit bagi memastikan kelancaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 6:32 PM