GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bangi: Sebuah lagi hospital di Selangor akan dijadikan hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya sebagai strategi mendepani kemasukan pesakit yang tinggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Buat masa ini, terdapat dua hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya di Selangor iaitu Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh.

"Hospital itu akan kita umumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini persiapan sedang dijalankan bagi memastikan hospital itu bersedia menerima pesakit Covid-19," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Pangsapuri Sri Ayu, di sini, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, kemudahan kesihatan awam di Selangor juga sudah ditambah dengan lebih banyak katil dan wad dibuka.

"Hospital Serdang umpamanya terdapat pertambahan 100 katil, manakala di Hospital Ampang pula kira-kira 50 katil tambahan yang disediakan boleh digunakan dengan segera," katanya.

Beliau berkata, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sungai Buloh sedang dalam perancangan untuk diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) yang boleh menempatkan 1,200 pesakit dalam satu-satu masa.

Mengenai kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Sha'ari berkata, beberapa inisiatif diambil bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya menjadikan pusat rawatan harian hospital itu sebagai tempat merawat pesakit Covid-19.

"Buat masa ini, pusat rawatan harian di HTAR tidak akan menerima pesakit bukan Covid-19 untuk tempoh tertentu. Pada minggu hadapan, akan ada tambahan 150 katil di HTAR, jadi saya yakin HTAR masih mampu menampung sekiranya ada pertambahan kes baharu Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 9:01 PM