FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pemindahan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta mampu membantu hospital kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaannya bagi merawat pesakit Covid-19.

Ia dilihat dapat membantu menyelesaikan masalah kepadatan hospital kerajaan ketika ini kerana ramai yang dijangkiti virus berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Hospital Putra Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia satu cadangan yang difikirkan wajar, apatah lagi ketika negara berada dalam keadaan darurat.

Menurutnya, sampai masanya kerajaan dan sektor swasta berganding bahu untuk mengekang penularan Covid-19 pada waktu ini.

"Sebelum ini, kita lihat penyertaan pegawai perubatan swasta sebagai sukarelawan dan pemberian vaksin.

"Isu kesesakan hospital, tambahan katil dan kemudahan lain boleh di atasi dengan menggunakan hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit bukan Covid-19. Bermakna, hospital kerajaan hanya fokus kepada Covid-19 saja.

"Soal bayaran kepada pesakit, ia mestilah sama dengan kadar yang dikenakan di hospital kerajaan, tidak timbul isu bayaran mahal dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, selain itu pembukaan hospital mini di kawasan padat dengan penduduk juga boleh menjadi alternatif kepada isu berkenaan.

Katanya, penggunaan dewan orang ramai sebagai hospital mini boleh menyelesaikan isu itu dengan kadar segera.

Dr Muhamad Akmal berkata, ia terbukti dengan penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sebelum ini yang membantu menjadi pusat khusus untuk rawatan Covid-19.

"Dengan cara ini, kita dapat uruskan pesakit dengan cara terbaik sambil mengharapkan suntikan vaksin berjaya mencapai matlamatnya," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk tidak meneruskan pembukaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebaliknya akan mengoptimumkan penggunaan katil di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM).

Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah dilaporkan berkata, ia kerana pihaknya melihat keupayaan HATTM lebih baik berbanding hospital medan yang dinyatakan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:31 PM