Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jumlah katil untuk pesakit Covid-19 di Zon Pengurusan Bencana (DMZ) yang terletak di ruang parkir Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), di sini, sudah ditingkatkan kepada 150 berbanding ketika mula beroperasi 13 Julai lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata kapasiti asal adalah 50 katil bagi perawatan pesakit kategori empat dan lima.

Beliau berkata, kapasiti katil di DMZ boleh dipertingkatkan sehingga ke 200 katil pada satu masa berdasarkan kemampuan yang ada.

"Buat masa ini kita mengkhususkan kepada pesakit kategori empat dan lima dahulu kerana ini adalah pesakit yang memerlukan rawatan yang khusus terutama sekali perlunya bantuan bekalan oksigen.

"Kita sudah melakukan persediaan untuk 16 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di HATTM. Tetapi kalau keadaan terdesak, konsep yang sama kita gunakan di DMZ," katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di DMZ HATTM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah HATTM, Brigider Jeneral Datuk Dr Rosman Ab Rahman, Komander Operasi DMZ HATTM, Kolonel Dr Mohd Mansor Shariff dan Leftenen Kolonel Dr Mohamad Azlan Arrifin.

Setakat ini, 43 pesakit kategori empat, 10 pesakit di kategori tiga dan 10 lagi sedang mendapatkan rawatan di ICU dan jumlah kumulatif yang sudah mendapatkan rawatan di DMZ HATTM, adalah seramai 74 orang termasuk 23 yang dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan bermula 13 Julai lalu.

Dr Zulkeffeli berkata, pengoperasian DMZ HATTM di Wangsa Maju itu dilihat berupaya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merawat pesakit Covid-19 terutama pesakit yang berada pada tahap empat dan lima.

Menurutnya, DMZ semasa pembinaannya direka untuk dijadikan kawasan pengurusan bencana dan krisis terutama keperluan membabitkan ramai pesakit.

PETUGAS di DMZ HATTM menguruskan pesakit kategori empat dan lima Covid-19. FOTO Aswadi Alias
PETUGAS di DMZ HATTM menguruskan pesakit kategori empat dan lima Covid-19. FOTO Aswadi Alias

"Hari ini kita dapat lihat sendiri konsep yang sudah sekian lama dirancang, digunakan untuk perawatan Covid-19 di negara kita terutamanya bagi menangani peningkatan kes yang tinggi khususnya membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor.

Ditanya adakah keperluan wujudkan DMZ di semua hospital tentera, beliau berkata, jika diikutkan hospital lain adalah hospital lama.

Sebagai contoh, katanya, hospital di Terendak jika perlu dibuat akan dinaiktaraf dengan konsep sama diperkenalkan di DMZ HATTM.

"Sekarang ini pun di pihak KKM juga melihat bahawa konsep DMZ ini sesuai digunapakai di negara kita terutama sekali dalam kes Covid-19 dan bencana yang berlaku," katanya.

Sementara itu Dr Rosman, berkata, sejak bermulanya operasi DMZ, mereka menerima pesakit Covid-19 sekitar Lembah Klang seperti dirujuk dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang dan hospital berdekatan.

"Pada mulanya penerimaan pesakit adalah bagi rawatan anggota dan pesara ATM namun sejak DMZ ini digerakkan, kita sekarang menerima semua pesakit di Lembah Klang, terutamanya mana-mana yang merujuk kepada kita daripada CAC, Maeps dan hospital berdekatan.

"Kekuatan kami pada masa ini terdiri daripada lima pakar perubatan, satu pakar bius dan satu pakar kecemasan serta sembilan pegawai perubatan selain dibantu 12 jururawat dari KKM.

"Kami turut dibantu 82 anggota ATM terdiri daripada 18 jururawat terlatih dan kakitangan sokongan ATM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 1:13 PM