GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Kerajaan negeri Melaka membuat laporan polis Selasa lalu susulan penyebaran maklumat sulit cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ayer Keroh, yang tular dalam laman Facebook dan WhatsApp baru-baru ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penyebaran maklumat itu bukan sahaja menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menarik balik cadangan PKPD itu malah menimbulkan kebimbangan kepada kira-kira 15,000 penduduk sekitar.

"Laporan polis dibuat bagi memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang kerana tindakan itu menyebabkan suasana tidak tenteram dalam kalangan penduduk.

"Kami sudah buat laporan polis bagi pihak kerajaan negeri, tetapi kita menerima maklum ada individu juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara sama," katanya selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, semalam..

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima dua laporan berhubung perkara itu, Selasa lalu.

Beliau berkata, laporan diterima pada jam 2.30 petang di Balai Polis Ayer Keroh dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:00 PM